Kerjaya guru tidak pernah ketandusan calon, baik yang memohon untuk KPLI atau GSTT. Menemuduga calon GSTT untuk sekolah-sekolah menengah di seluruh Sabah menuntut kesabaran, ketahanan fizikal dan mental. Dua hari melalui proses tersebut memang amat memenatkan, walau bagaimanapun inilah satu tanggungjawab besar yang perlu dilunaskan dan rasa amat dihargai kerana dapat membantu JPN dan sekolah.
Balik ke IPG, bersedia pula dengan program yang bertujuan mempromosikan kerjaya guru kepada pelajar sekolah dan mereka yang berminat khususnya dalam kalangan warga Pedalaman. Sambutan tetap luar biasa dan sehingga ada yang tidak berpeluang masuk ke dalam dewan semasa sesi taklimat disampaikan oleh pihak BPG.
Promosi yang julung-julung kali diadakan dan memang amat bermanfaat kepada warga Pedalaman. Namun terfikir juga saya dan beberapa rakan, perlukan kita membuat promosi seumpama ini, walhal kita tidak pernah ketandusan calon, malah sentiasa menhadapi kesukaran kerana calon lebih ramai daripada tempat yang disediakan di IPG. Pendaftaran secara talian terus melalui internet juga tidak dapat dilakukan kerana masalah kesesakan dalam laman kementerian.